Thursday, January 31, 2019

Allah tu pemarah ke, ustazah?

Sumber gambar : pixabay.com

Kelas mengaji hari ini bermula dengan lancar. Anak-anak nampaknya ramai datang tepat pada masanya. Yalah, biasanya mereka sampai lewat. Ada yang baru tiba selepas 50 minit kelas bermula. 

Semasa ummi sedang ajar mengaji, memang biasa ada dua, tiga orang anak murid akan duduk sebelah melihat kawan mereka mengaji. Namun hari ini ada sedikit kelainan. Bertanya seorang anak perempuan kecil kepada ummi. Dia baru masuk tadika tahun ini.

"Ustazah, Allah tu garang ke?"

Terangkat kening ummi. Kenapa tanya begitu? Mulanya dia diam. Bagai menyusun ayat untuk bercakap seterusnya.

"Yelah, kat sekolah cikgu selalu kata. Jangan tolak kawan, berdosa. Allah marah! Kalau nak makan kan, cikgu cakap lagi. Jangan bercakap masa makan. Nanti Allah marah."

Alamak, giliran ummi pula terdiam.

Niat cikgu itu sudah baik sebenarnya mahu mengajar anak-anak ini beradab tetapi pemilihan ayat itu kurang sesuai dan anak jadi salah faham. Allah.. sesungguhnya ini juga peringatan buat ummi supaya hati-hati dalam memilih perkataan. 

Apa ummi nak jawab ni?

"Anak, Allah tu Maha Penyayang. Allah sayang kita semua. Allah hanya marah kepada orang yang syirik kepada-Nya dan tak dengar perintah-Nya.

Cikgu pun niat baik sebenarnya. Waktu makan, elok kita makan supaya tak tersedak. Sebab tu cikgu tak bagi bercakap semasa makan. Nanti kamu dah sudah makan, baru kamu bersembang dengan kawan semula ye.

Kalau tolak kawan pula. Apa jadi kalau kamu tolak kawan? Dia akan jatuh, kan? Cikgu cuma tak mahu ada yang luka, patah tangan atau tercalar pada badan. Nanti sakit. Kena bawa ke klinik. Dah tak boleh sekolah. Kena cuti. Jadi, faham tak kenapa cikgu tak bagi tolak kawan?

Allah sayang kita sebab itu Allah suruh kita beradab dengan kawan dan semasa makan."

Anak kecil itu menganggukkan kepala. Semoga dia faham.

Ummi pula termenung memikirkan kejadian ini. Ini juga satu bentuk tarbiah yang Allah mahu tunjuk kepada ummi hari ini. Alhamdulillah.

Ummi Aina.
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak


No comments:

Post a Comment